Remeh Temeh Cerai
Saya menerima artikel ini dari email blalang_group@yahoogroups dari seseorang yang bernama TeMaN untuk dikongsi dengan anda. Kredit kepada penulis.
Di sebuah kampung terdapat sebuah pokok yang umurnya melebihi umur kampung tersebut. Semasa kampung tersebut di buka, pokok itu telah wujud dan penduduk menngambil keputusan untuk membiarkan sahaja sehinggakan ia menjadi semakin membesar.
Sejak kewujudannya sehingga kini, pokok tersebut tetap berdiri teguh dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan musnah walaupun seringkali di panah petir dan dilanda banjir besar beberapakali.
Sehinggalah pada suatu hari secara tiba-tiba pokok itu gugur ke bumi dengan sendirinya tanpa disebabkan punca-punca yang besar.
Penduduk tertanya-tanya mengapakah pokok itu boleh tumbang, sedangkan selama ini bermacam bencana yang menimpanya, tetapi ia tetap berdiri teguh dengan penuh bangga.
Setelah disiasat oleh beberapa orang penduduk, mereka mendapati pokok itu tumbang kerana disebabkan oleh sejenis serangga yang disebut kumbang yang telah memakan pokok tersebut secara perlahan-lahan sejak sekian lama tanpa disedari oleh penduduk di situ.
Kumbang-kumbang itu telah memakan bahagian pokok itu yang selama ini dibaluti oleh kulitnya yang keras itu.
Akhirnya, dalam masa yang singkat, pokok tersebut telah tumbang, tersembam ke bumi hanya kerana disebabkan kumbang-kumbang yang kecil saiznya.
Dalam sebuah hadis yang mahsyur, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Jauhilah dosa-dosa kecil kerana jika ia telah bertompok-tompok pada seseorang maka ia akan merosakkan orang itu “
Seorang hakim di Chicago bernama Dan Joseph Sabeth yang pernah menjadi penasihat perkahwinan telah berjaya membantu 40000 pasangan yang tidak bahagia mengatakan sebahagian besar ketidakbahagiaan dalam perkahwinan disebabkan oleh hal yang remeh-temeh atau perkara-perkara kecil.
Manakalah Frank S. Hogan, seorang penguasa daerah di New York Country mengatakan sebahagian kes-kes yang telah dilaporkan ke jabatannya berkaitan hal-hal yang kecil saja seperti pertengkaran antara anggota keluarga, atau kerana disebabkan selisih faham sehingga menyebabkan saling menghina antara satu sama lain, atau kerana tersinggung, atau kerana terkesan disebabkan isyarat-isyarat badan.
Dan perkara-perkara kecil seperti di atas tadilah telah membawa kepada beberapa kes besar seperti pergaduhan dan pembunuhan.
Di negara kita sendiri apa kurangnya. Sama seperti di Barat yang mana saban hari di dada-dada akhbar dan seperti yang dilaporkan dalam berita di televisyen tentang pergaduhan dan pembunuhan yang hanya bermula dengan hal yang kecil dan kadangkala tidak masuk dek akal.
Misalannya, bergaduh sehingga berbunuhan kerana masalah perselisihan pendapat.
Bila mula berbeza pendapat, masing-masing mula menghina antara satu sama lain, dan akhirnya menyebabkan kepada pergaduhan yang penamatnya menyebabkan salah seorang daripada mereka terkorban.
Ini bukan cerita dongeng, tetapi inilah realiti yang sedang melanda masyarakat di negara kita.
Mari kita fikirkan bersama, mengapa semua ini berlaku. Dari hal-hal yang kecil dan remeh-temeh, akhirnya ia menjadi masalah besar dan membinasakan.
Jawapannya mudah sahaja, ini semua berlaku kerana kita sering memperbesarkan hal-hal yang kecil sehingga menjadi besar dan seterusnya memusnahkan diri kita sendiri. Contoh-contoh di atas menunjukkan kepada kita betapa hal yang kecil dan temeh-temeh telah menyebabkan banyak perkara besar telah berlaku.
Hal-hal kecil dan remeh temeh ini perlulah kita tangani dengan berkesan agar ia tidak menguasai diri kita.
Misalnya dalam rumahtangga, pasangan suami isteri haruslah pandai menilai sesuatu isu yang berlaku dalam rumahtangga mereka. Jangan biarkan hal-hal yang remeh temeh membelenggu kerukunan rumahtangga mereka.
Misalnya seorang suami merasa sakit hati kerana isterinya suka tidur berdengkur. Hampir setiap malam tidurnya terganggu kerana bunyi-bunyian yang keluar dari rongga mulut dan hidung isterinya.
Dalam hal ini, sebelum situasi menjadi semakin rumit disebabkan hal yang begitu remeh, si suami perlulah menilai hadis ini yang berbunyi :
“Janganlah seorang suami mukmin membenci isterinya yang mukminah, jika ia tidak
menyukai salah satu sifat isterinya, tentu ada satu sifat lain yang akan menyenangkannya” ( Muslim ).
Ya, si suami jangan biarkan satu sifat yang buruk pada pandangannya itu untuk menafikan lain-lain sifat yang baik pada diri si isteri. Bertenang sekejap, fikirkan secara perlahan-lahan apakah kebaik-kebaikkan si isteri padanya.
Masakan tiada bukan. Pasti ada dan jangan menafikannya. Jangan biarkan ego seorang suami menguasai diri anda. Dari sepuluh sifat si isteri misalnya, masakan tiada satupun yang baik pada pandangan mata anda.
Dia basuh pakaian anda, masakkan makanan yang lazat-lazat untuk anda, mengemas rumah setiap hari walaupun penat bekerja dan bermacam-macam lagi yang lakukan si dia untuk anda.
Kenapa hanya satu masalah yang kecil, menyebabkan mata anda tertutup untuk melihat perkara yang lebih besar. Fikirkanlah bagaimana Saidina Umar menilai pengorbanan isterinya dengan mendiamkan dirinya ketika dia dibebeli isterinya.
Lemahkah Umar?
Tidak, dia pahlawan hebat, bukan sahaja manusia yang takutkannya, malah syaitan juga melarikan diri bila bertembung dengannya. Dia juga sahabat Nabi yang yang mulia dan dijamin syurga.
Tetapi mengapa dia bertindak begitu?
Tidak lain tidak bukan kerana dia menghargai isterinya dan menerima kelemahan yang ada pada isterinya.
Pada suami di luar sana, anda bagaimana?
Fikir-fikirkanlah.
Apa jalan penyelesaiannya?
Mudah sahaja jalannya, bersihkan jiwa dan bukalah minda kita dengan seluas-luasnya agar kita dapat melihat sesuatu isu dan perkara itu dengan lebih tenang, matang dan menurut pandangan akal yang berlandaskan Islam dan sunnah Nabi.
Jangan biarkan fikiran kita terus dikuasai hal-hal yang remeh-temeh sehingga menjadikan minda kita tertutup rapat dan sentiasa menilai sesuatu perkara dan isu itu dengan nilaian yang negatif yang hanya bersandarkan kepada tanggapan semata-mata dan nafsu yang sering memandu kita ke arah kejahatan yang akhirnya
akan membinasakan diri kita sendiri.
Ingat, syaitan sentiasa mencari jalan untuk memusnahkan anak adam kerana itu janjinya hingga kiamat kelak. Akhir bicara, bersabarlah dengan setiap apa yang telah Tuhan tentukan buat kita.
Nasib anda beradadi tangan anda sendiri. Hanya anda yang mampu mengubahnya dengan izin Allah.
Selamat berubah kepada Kehidupan Baru
Wallahualam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan